CELIK AKAL


Definisi Celik Akal.

Menurut Ee Ah Meng(1994, pemikiran ialah proses kognitif yang mana pengetahuan difahami, disusun dan diubah bentuk. Oleh kerana celik akal juga merupakan satu aktiviti kognitif, ia akan dibincangkan juga. Celik akal merupakan kebolehan seseorang mengamati atau memahami sesuatu masalah secara tiba-tiba setelah dapat mengaitkan unsur-unsur yang relevan di dalamnya. Sebagai contoh, kita boleh merujuk dua eksperimen yang dijalankan oleh Kohler.

Faktor-faktor yang mempengaruhi timbulnya celik akal seperti yang dinyatakan Ee Ah Meng (1994) adalah seperti berikut :

Faktor yang pertama ialah faktor kesediaan murid. Celik akal mudah timbul sekiranya murid-murid telah sedia untuk satu-satu tugasan. Faktor yang kedua ialah faktor kecerdasan. Individu yang lebih cerdas mempunyai kemungkinan yang lebih besar untuk memperoleh celik akal. Faktor yang ketiga ialah pengalaman. Murid yang lebih berpengalaman mempunyai kemungkinan yang lebih besar untuk memperoleh celik akal. Faktor yang keempat ialah alatan. Dalam satu-satu masalah, alatan yang boleh membantu menimbulkan celik akal seharusnya dapat dilihat oleh seseorang murid.

Faedah-faedah celik akal adalah seperti berikut :

Antara faedah-faedah celik akal yang dinyatakan oleh  Ee Ah Meng(1994) ialah dapat membantu murid-murid mengaplikasikan prinsip-prinsip yang telah dipelajari. Celik akal dapat membantu murid-murid mencipta cara mengingati sesuatu yang telah dipelajari. Contohnya seorang murid murid mencipta perkataan HOMES (Tasik Huron, Ontario, Michigan, Erie, Superior) untuk mengingati nama tasik-tasik besar di Amerika Syarikat. Celik akal membantu seseorang individu menyelesaikan masalah dengan mengkaji keseluruhan masalah terlebih dahulu. Dia bertindak dengan lebih rasional dan sistematik. Celik akal membawa kefahaman yang mendalam tentang satu-satu situasi atau masalah. Murid-murid dapat belajar melalui analisis, aplikasi, sintesis dan penilaian. Celik akal adalah berlandaskan pengalaman dan pengetahuan sedia ada murid-murid. Ini bermakna pengalaman lama murid-murid kerapkali dapat digunakan.

Ciri-ciri golongan celik akal.

Menurut Kamarudin Hj. Husin (1993) golongan celik akal itu melibatkan beberapa ciri seperti penyelesaian kepada sesuatu masalah itu diperoleh secara tiba-tiba. Malah celik akal bergantung kepada pengalaman atau pembelajaran yang sedia ada bagi membolehkan seseorang itu menyusun semula struktur fikirannya. Selain itu, seseorang akan duduk diam untuk beberapa ketika bagi menyusun semula struktur fikirannya yang sedia ada sebelum mampu mendapatkan struktur baru untuk menyelesaikan masalah baru. Perkara-perkara yang akan diambil kira oleh seseorang itu bagi mendapatkan celik akal hendaklah berada dalam lingkungan pemerhatian dan jangkauannya. Tambahan pula, seseorang itu dapat melihat hubungan antara objek-objek ini.

Cara-cara meningkatkan celik akal.

Celik akal merupakan kebolehan melihat perhubungan di antara unsur-unsur di dalam satu situasi yang bermasalah. Kebolehan ini timbul secara tiba-tiba. Biasanya, celik akal dikenal sebagai pengalaman “Aha”.

Di antara cara-cara yang boleh meningkatkan celik akal seperti yang dinyatakan oleh  Ee Ah Meng(1994) adalah dengan membantu murid-murid melihat satu-satu masalah secara keseluruhan sebelum masalah itu dipecahkan kepada bahagian-bahagian yang kecil. Keupayaan melihat keseluruhan membolehkan murid-murid menggunakan perbendaharaan konsepnya untuk menyelesaikan satu-satu masalah. 

Selain itu, pengalaman murid-murid hendaklah diperluaskan. Adakan pelbagai jenis aktiviti dan berikan pelbagai jenis masalah pembelajaran kepada murid-murid untuk diselesaikan.

Cara yang seterusnya ialah membimbing murid-murid memperoleh celik akal dengan menggunakan soalan-soalan yang berturutan serta teratur. Selain itu, beri peluang kepada murid-murid menjalankan ujikaji atau eksperimen. Kemudiannya, bimbing dia menganalisis rumusan tentang eksperimen itu.

Malah kita juga perlu bantu murid-murid dengan memberi petunjuk kepadanya tentang masalah yang dihadapi. Tarik perhatiannya kepada unsur-unsur penting dan perkaitannya di dalam satu-satu masalah.

Boleh juga adakan demontrasi ketika menyampaikan satu-satu kemahiran atau konsep yang baru. Sambil menjalankan tunjuk ajar, soalan-soalan yang baru hendaklah dikemukakan bagi membantu murid-murid memahami secara mendalam setiap perbuatan guru di dalam tunjuk ajar itu.

Tambahan pula, murid-murid hendaklah dilatih membuat andaian-andaian serta mengujinya. Latihan seperti ini mempercepatkan murid-murid melihat perkaitan di antara unsur-unsur yang relevan di dalam sesuatu masalah.

Cara lain yang boleh digunakan ialah dengan mengaitkan pembelajaran yang baru dengan pembelajaran yang lama. Selain itu, cuba kaitkan isi dan kemahiran mata pelajaran lain dengan isi dan kemahiran mata pelajaran yang sedang diajar. Usaha mengaitkan seperti ini dapat meningkatkan celik akal murid-murid.

Selain itu, pastikan murid-murid bersedia dari segi mental, emosi dan jasmani. Murid-murid yang berminat serta bermotivasi tinggi terhadap satu-satu pelajaran biasanya akan memperoleh celik akal dengan lebih cepat lagi. Malah, ketika mengajar, guru hendaklah memberikan penerangan yang jelas teratur dan disertai contoh-contoh yang relevan. Situasi seperti ini membantu murid-murid memperoleh celik akal dengan lebih mudah ketika diberi masalah untuk diselesaikan selepas satu-satu pelajaran itu. Guru mesti menggunakan perbendaharaan kata yang jelas, mudah difahami dan dibantu dengan gambar, audio serta pengalaman langsung pelajar dalam pengajarannya. Perkara yang hendak disampaikan mestilah mudah difahami.