Seperti yang dinyatakan Mok Soon Sang (2002), Kohler menyarankan bahawa kebolehan mental (celik akal) juga terdapat pada manusia yang membolehkan pelajar mempelajari perkara-perkara baru. Implikasi teori Kohler yang terpenting ialah guru perlu menggalakkan pemikiran celik akal di kalangan pelajar.
Implikasi yang pertama ialah guru perlu menggalakkan murid agar menggunakan celik akalnya untuk menyelesaikan masalah pembelajaran. Sebagai contoh, apabila guru mengajarkan sesuatu tajuk baru kepada murid. Guru hendaklah menyediakan bahan dan aktiviti yang sesuai untuk merangsang celik akal murid memahami isi pengajaran yang hendak disampaikan oleh guru.
Selain itu, membimbing murid menggunakan persepsinya untuk menghubungkaitkan unsur-unsur dalam persekitaran. Hal ini memerlukan murid menjalankan ujikaji atau pemerhatian untuk mereka memahami dan melihat sendiri perkaitan antara unsur-unsur yang relevan dalam sesuatu masalah.
Implikasi yang ketiga ialah menyampaikan pengajaran selangkah demi selangkah mengikut urutan yang sesuai. Hal ini adalah penting untuk memastikan murid dapat memahami secara mendalam isi pengajaran yang hendak diajar. Selain itu, hal ini juga dapat memberikan pengalaman yang bermakna kepada murid disamping menarik minat murid untuk belajar. Malah sesuai digunakan bagi memastikan murid di taraf sederhana dan lemah dapat mengikuti pengajaran dengan baik.
Implikasi yang keempat ialah membimbing pelajar menyelesaikan masalah dengan teknik menyoal. Hal ini dapat membantu guru menjalankan pemerhatian bahawa murid memahami ataupun tidak isi pengajaran yang disampaikan. Selain itu, murid juga dapat memproses maklumat yang diterima dengan lebih cepat.
Selain itu, guru boleh menggunakan contoh-contoh khusus yang berkaitan untuk membimbing pelajar supaya menggunakan celik akal mereka, demi mendapat kesimpulan atau generalisasi. Kaedah ini dapat membantu pelajar menyelesaikan masalah yang diberikan dengan lebih mudah. Pengajaran mesti disampaikan selangkah demi selangkah dan mengikut urutan kesinambungan yang padu. Proses ini lebih berkesan jika guru memberi banyak contoh yang khusus, dan pelajar cuba membuat generalisasi yang betul.
Malah guru juga perlu mengajar pengalaman baru berdasarkan tahap kebolehan pelajar dan pengalaman mereka. Guru juga boleh mengaitkan pengalaman sedia ada murid untuk membantu mengajarkan sesuatu yang baru. Sebagai contoh pelajar yang pernah melihat situasi kebakaran akan dapat menggambarkan keadaan ketika situasi itu berlaku berbanding pelajar yang tidak pernah melaluinya. Namun begitu, pengajaran yang ingin dijalankan perlu juga diukur dari segi kebolehan murid. Sekiranya mengajarkan murid di tahap lemah perlulah menggunakan bahan rangsangan yang bersesuaian berbanding mengajarkan murid di tahap sederhana.
Implikasi yang terakhir ialah membekalkan bahan-bahan pelajaran yang lengkap supaya pelajar boleh menggunakannya untuk menyelesaikan masalah. Bahan bantu mengajar yang bersesuaian adalah penting bagi memastikan proses berfikir dan celik akal murid berlaku dengan teratur. Proses memahami juga akan berlaku dengan lebih mudah.